Monday 24 June 2013

IBRAH JEREBU

Bismillah Alhamdulillah

Assalammualaikum w.b.t dan salam sejahtera, salam 15th Syaban 1434 Hijrah kepada semua pembaca blog mujahid alam. Alhamdulillah Allah berikan sedikit kesempatan setelah tidak menghidupkan blog ini beberapa bulan lamanya.

Begitu banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini dan antara isu yang menyentuh tingkap kehidupan setiap daripada kita ialah berkaitan dengan jerebu yang kini menular ke selatan semenanjung Malaysia dan ke Sabah di Borneo. Masih segar diingatan sewaktu berada di sekolah rendah dulu, Malaysia diserang jerebu yang teruk.


Mudah untuk kita menghuraikan jerebu daripada perspektif sains namun harus diambil kira kita selaku seorang muslim untuk cakna setiap apa yang berlaku dialam ini ada sebab musababnya yang tersendiri.

"Kau nampak matahari?" tanya seorang teman
"nampak, tapi sinarannya diliputi kepulan jerebu"

"Kau nampak Al-quran?" teman itu bertanya lagi
"nampak" jawabnya ringkas

"kau tahu baca?"
"........" diam terkelu

Kita nampak seperti itu pada zahirnya, namun ada beberapa ibrah yang Allah selitkan disini. Bergantung kepada akal fikiran yang Allah kurniakan untuk menakulnya..

Antara ibrah yang boleh diperolehi ialah: 

1. Berkaitan dengan perihal hati kita. Hati yang kotor umpama dicemari jerebu menenggelamkan kebenaran yang termaktub didalam Al-Quran. Seperti mana halnya sinar mentari yang kelihatan samar menerangi langit dunia.

2. Allah tarik seketika nikmat udara segar yang diberikan, menukarnya dengan kepulan jerebu yang memeritkan. Pernah terlintas dan menghargai nikmat udara yang Allah kurniakan sebelum ini? pernah menuturkan lafas tasbih atas udara yang diberi? disini Allah ingin mentarbiyyah erti syukur.. dengan harapan selepas Allah kembalikan semula udara segar itu, kita tidak akan lupa padaNYA seperti lupanya  sebahagian kaum nabi Musa yang kufur

3. Pergantungan kepada Allah, diuji disini. Allah asal punca segalanya, jerebu itu datang daripadaNYA dan hanya kepadaNYA sahaja seharusnya kita merujuk kerana Dia berkuasa atas ciptaannya. 

Allah berfirman dalam surah Yunus ayat 107

"Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia."

4. Jerebu juga sebagai tanda peringatan daripada Allah akan kerdilnya manusia tanpa kudrat dan kekuatan sedikitpun. Jerebu sedikit ini saja sudah menjadi penyebab manusia sakit dan hilang punca, mana kuasa dan pangkat yang diagung-agungkan?

5.  Menghargai nikmat Hujan. Rasulullah menganjurkan kita untuk berdoa dikala hujan "Allahumma syoiban nafi'an" yang bermaksud "Jadikan hujan yang turun ini sebagai rahmat buat kami"

Kerap kali hujan murah mencurah di bumi Malaysia atas izin Allah, namun kerap kali itu juga kita mengeluh, kita mendabik dada, kita mencemuh hujan yang kononnya menghalang segala bentuk aktiviti.. kini kita sangat memerlukan hujan untuk menghalau Jerebu yang berlaku.

Allah berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 48

"Dan Dialah yang meniupkan angin (sebagai) khabar gembira sebelum kedatangan rahmatNya (Hujan); dan kami turunkan dari langit air yang sangat bersih"

maka oleh itu, dikala hujan turun membasahi bumi, bersyukurlah, mohon ianya menjadi rahmat bukan kemurkaan dariNya.

serta banyak lagi sebenarnya ibrah yang boleh diperolehi melalui alam. Bersama berdoa di keberkatan 15th Syaban ini dan kedatangan Ramadhan dengan kemuliaannya untuk meraih redha Allah agar dikembalikan semula apa yang telah diambil insyaAllah.

Jerebu itu mentarbiyyah diri seorang hamba. Hentikan keluhan.

No comments:

Post a Comment

Coretan Antum ^ ^