Showing posts with label Cerita. Show all posts
Showing posts with label Cerita. Show all posts

Sunday, 28 June 2020

PENGAJARAN HIDUP : RAJA & 4 ISTERI

Bismillah Alhamdulillah


Assalammualaikum dan hello semuanya. Entri petang ini saya ingin kongsikan tentang sebuah cerita yang sangat terkenal di luar negara terutama di Eropah. Cerita ini banyak di nukilkan dalam bahasa inggeris oleh itu saya akan terjemahkan dan mengarang kembali dalam bahasa melayu agar mudah difahami oleh pembaca sekalian. 

Saya ada buat pembacaan dan sedikit kajian tetapi saya tidak menemukan sumber asal penulisan ini tetapi berdasarkan daripada gambar jelas dilihat cerita ini di karang asal usulnya pada zaman Renaissance. 

......

Di sebuah kerajaan terdapat seorang raja dan raja ini memiliki empat orang isteri. Sepanjang pemerintahannya raja tersebut hidup bahagia bersama keempat-empat isterinya. 

Suatu hari raja tersebut di sahkan menghidap penyakit yang akhirnya menyebabkan dirinya nazak dan bakal mati. Raja tersebut tidak ingin meninggalkan dunia ini dan pergi ke alam lain bersendirian lalu raja tersebut memanggil kesemua empat orang isterinya. 

Raja tersebut berkata kepada isteri keempat yang beliau akan memberikan emas permata serta berlian kepadanya dengan harapan isteri keempat akan mengikutinya ke alam kematian namun isteri keempat tadi menolak dan berkata dia sayang akan raja tapi dia tidak akan mengikutinya ke alam kematian.

Seterusnya raja tersebut bertanya kepada isteri ketiga yang sangat di kasihinya. Raja selalu membawa isteri ketiga dan menayangkannya dengan mana-mana kerajaan dan sesiapapun. Namun isteri ketiga turut menolak bahkan berkata dia akan bernikah lagi selepas kemangkatan raja. 

Soalan yang sama di tanya kepada isteri kedua. Isteri kedua menjawab dia juga tidak dapat mengikuti raja ke alam kematian tapi apa yang boleh dia lakukan adalah mengurus majlis pengebumian dan menemani raja di pemakaman beliau. 

Usai isteri kedua berkata-kata kedengaran suara memecahkan keheningan. 

"Saya sanggup mengikutimu ke alam kematian dan rela bersama denganmu" 

Raja tergamam mendengar ucapan itu. Ternyata ianya datang daripada isteri raja yang pertama. Raja menjadi terharu dan serba salah kerana dalam banyak-banyak isteri beliau, isteri pertamalah yang selalu diabaikan dan tidak di sayang. Dia berkata kalaulah aku boleh mengembalikan masa, pasti akan aku menjagamu dengan lebih baik. 

Hakikat kebenarannya, cerita ini tidak berkisar tentang raja dan empat orang isterinya tetapi menceritakan perihal saya dan pembaca semua. Kita semua ada empat orang isteri. Isteri keempat disini diibaratkan sebagai tubuh badan kita yang kita sayang. Tidak kira berapa banyak masa kita luangkan untuk menjadikan tubuh kita sasa dan cantik namun ianya tetap akan meninggalkan kita bila kita mati. Tubuh itu akan hancur di mamah tanah atau dibakar menjadi abu. 

Isteri ketiga disini ialah harta kekayaan yang kita miliki. Kita sibuk mengumpul harta dan memperagakannya serta berbangga dengannya namun apabila kita mati kelak, harta itu akan di wariskan kepada orang lain dan tidak akan mengikuti kita ke alam kubur. 

Isteri kedua pula dinukilkan sebagai orang yang kita sayang iaitu ahli keluarga dan kawan-kawan kita. Mereka menyayangi kita tetapi mereka hanya boleh menemani hingga kita selesai di kuburkan. 

Isteri pertama disini ialah jiwa kita tetapi dalam Islam kita di ajarkan dalam empat ini hanya amalan kita yang akan menemani kita di alam kubur nanti. Segala amal kebaikan yang kita lakukan akan menjadi bekal kita di sana nanti namun amalan baik inilah yang selalu kita abaikan betul? 

Moral dalam cerita ini ialah jagalah tubuh badan kita, sihatkan ia, nikmatilah harta yang kita miliki dan keselesaan yang kita perolehi, sayangi keluarga dan kenalan serta saudara atas kasih sayang yang mereka berikan tapi jangan pernah lupa untuk menjaga amal soleh yang kita lakukan serta jiwa kita. Ambil masa untuk bermeditasi, bersendiri dengan Allah, lakukan amal kebaikan seperti sedekah jariah dan membaca al-quran serta amalan baik yang lain dengan harapan suatu hari nanti Allah mengganjarkan kita dengan syurganya. 

Sebagai tambahan, Islam mengajar kita ada tiga perkara yang akan sentiasa mengalir dan memberi manfaat kepada manusia ketika mati iaitu amal jariah yang kita lakukan, doa anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat. 

Ini jelas disebutkan dalam hadis dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda "jika anak Adam meninggal, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang selalu mendoakan" HR Muslim. 

Moga Entri ini dapat membantu kalian atau orang yang kalian cintai. 

Suntingan : Naturemujahid 
28/06/2020 (Ahad) 
06:42pm

Saturday, 1 February 2020

KATIL VINTAG



Malam kian larut, kelihatan langit semakin cerah di sinari rembulan yang kebetulan mengambang penuh. Bintang berkelip menghiasi dada ufuk, sepoi sepoi bayu berhembus di selangi bunyi unggas mewujudkan nuansa harmoni yang menenangkan tetapi juga meremangkan sesiapa yang menikmatinya.

Unggun api yang mereka nyalakan kelihatan semakin membara, menghangatkan tubuh tujuh orang sahabat yang sedang mengerumuni di kelilingnya.

“nah jam 12 malam sudah” Basri memberi signal melalui jam di pergelangan tangannya.

“Ok. Rasanya kita boleh mulakan” kata Syafiq sambil mengeluarkan kawah tembaga yang kecil.

Syafiq membuka penutup kawah tersebut yang saiznya sebesar jag air. Di dalamnya terdapat serbuk belerang berwarna kelabu yang akan di gunakan dalam upacara mereka setiap malam Jumaat pada setiap malam purnama. Syafiq kemudiannya memandang setiap seorang sahabatnya dengan perlahan lahan lalu berkata memecahkan hening

“dengan izin daripada persatuan tengah malam, sa panggil cerita ini sebagai Tilam Vintag” sambil di tangannya menggenggam serbuk belerang dan melemparkan ke dalam unggun api di hadapan mereka.

DECEMBER 2000

Cuti sekolah sememangnya ialah waktu yang sangat dinanti oleh kanak kanak sepertinya. Itulah waktu untuk mereka bermain dengan sepuasnya tanpa perlu memikirkan untuk belajar. Basri, Hairul, Darrel, Hassan, Ritchie dan Maidin sedang menunggu Syafiq di hadapan rumahnya masing masing dengan basikal mereka.

“sori, ada kerja sikit tadi kena siapkan”

“takpa”

“Jadi ke mana kita ni hari?” Syafiq bertanya dengan teruja

“Kita mandi manda kat lata Kerbau nak?” Hassan memberi cadangan

“Ha? Mandi lagi? Bukan dah kita mandi sungai kan tempoh hari” Maidin menyilangkan tangannya.

“itu sungai, ini lata. Tak sama” Ritchie menyampuk untuk menyokong.

Sedang mereka berenam sedang asyik berbincang untuk aktiviti mereka pada hari itu, di satu sudut jalan kampung kelihatan seorang nenek tua bongkok dengan pakaian lusuh membawa gumpalan herba kering di dalam raga buluh miliknya dengan tiga ekor ayam hitam di tangan kirinya.

“Assalammualaikum nek, boleh saya bantu?” Syafiq sambil tersenyum mendekati orang tua itu

“wa’alaikumussalam cu. Terima kasih”

Syafiq mengambil tiga ekor ayam yang di bawa oleh nenek tua itu tadi manakala raga herba itu di pegang menggunakan tangan kirinya. Darrel dan Hairul yang menyaksikan situasi tersebut turut mendekati Syafiq dan bersama mereka mengiringi nenek tua tersebut ke rumahnya.

Setibanya mereka bertujuh di hadapan rumah kayu yang usung di hujung kampung itu, nenek tua tersebut mempelawa mereka masuk namun Basri dan beberapa mereka yang lainnya menolak dengan lembut dan meminta untuk menunggu di luar sahaja. Syafiq dan Darrel akhirnya berdua menemani nenek tersebut ke rumahnya.

“Nek tinggal seorang saja disini?”

“ya cu.”

“ayam ayam ni nak letak kat mana nek?”

“letak saja di dapur cu, ada kandang kayu di belakang sana” nenek itu menudingkan jarinya kearah dapur.

Rumah kayu yang kelihatan usang daripada luaran itu terlihat kemas dan indah pada dalamannya. Kemas dan bersih, Cuma sesekali Syafiq terhidu wangian kemenyan di dalam rumah tersebut. Darrel pula berada di ruang tamu sedang bersembang dengan nenek tadi.

“eh Basri, ini bukan rumah tu ke?” tanya Hassan

“a’ah la. Memang rumah tu la” sampuk Ritchie pula.

“Ya, sa tau memang rumah ni la, tapi” Basri senyap seketika sebelum menyambung ayatnya

“tapi Syafiq tidak tahu menahu tentang cerita tu, lagipun kita tiada bukti” tegas Basri.

“Mak kata jangan sesekali pergi kat hujung kampung sebab ada….”

“eh kau ni Maidin, cakap habis boleh tak” Hairul mencelah

Maidin terdiam kerana matanya terlihat kelibat nenek yang sedang berada di beranda rumah tersenyum ke arahnya. Hairul kemudian turut terdiam sama kerana anak matanya memandang ke arah yang sama seperti temannya itu.

“Nek, cantiklah bilik tidur dekat dapur tu”

Nenek tua dan Darrel yang sibuk bercerita tadi di sapa oleh Syafiq. Dia menjelaskan itu adalah bilik tidur anaknya sebelum anaknya meninggalkan dia berseorangan di sini. Keduanya berasa simpati mendengar cerita itu.

“Syafiq! Darrel!” Jerit Basri

“Nek kami gerak dulu.” Syafiq menghulurkan tangan untuk menyalam orang tua itu diikuti oleh Darrel sebelum mereka berdua beredar.

“terima kasih cu”

“sama sama nek” jawab Darrel.

Mereka bertujuh akhirnya bergerak meninggalkan rumah usang itu dengan mengayuh basikal masing masing.

Sejak daripada peristiwa tempoh hari, Syafiq dan Darrel rajin berkunjung ke rumah nenek tua itu bercerita sambil belajar berkaitan dengan herba yang sememangnya menjadi antara sebab utama keduanya suka ke sana.

Suatu petang sebelum maghrib, Syafiq meminta diri untuk meninggalkan sahabat sahabatnya untuk membawa beberapa bungkusan bunga kering ke rumah nenek tua. Kebiasaannya dia akan pergi bersama Darrel namun Darrel dengan keluarganya berada di kota pada waktu itu.

Setibanya Syafiq di rumah nenek tua, pintu pagar rumah tertutup dan tidak seperti selalunya. Kebiasaannya nenek akan berada di beranda rumah menunggu kehadirannya. Tapi tidak petang itu.

“Assalammualaikum Nek”

Syafiq memasuki rumah yang tidak berkunci. Dia kemudiannya menuju ke dapur untuk meletakkan bunga dan herba kering yang di bawanya seperti biasa. Syafiq melihat nenek sedang tidur mengiring diatas katil anaknya. Tidak ingin mengganggu, dia meninggalkan rumah itu dengan senyap.

Keesokan petang, Syafiq datang semula seperti kebiasaannya dan membawa herba kering. Dia melihat herba kering yang di hantarnya kemarin masih tidak di sentuh dan kemudiannya meletakkan herba kering yang baru di bawa disebelah herba yang lain. Sama seperti kemarin, nenek berbaring di katil vintag milik anaknya itu. Kejadian yang sama berlaku tiga hari berturut dan kemudiannya pada hari keempat, Syafiq datang lagi ke rumah nenek tersebut.

Selesai dia meletakkan herba kering di dapur, dia melihat ke arah katil Vintag itu yang tadinya nenek berbaring kini sedang terduduk di tengah katil. Nenek itu tersenyum memandang Syafiq dan melambaikan tangannya memberi isyarat memanggil dia masuk. Syafiq kemudiannya di peluk oleh nenek tua itu dan dia membalas pelukan nenek.

Setelah seketika, Syafiq meninggalkan rumah nenek tua itu kerana nenek tua meminta untuk di belikan kemenyan di kedai. Setibanya di rumah nenek, dia melihat banyak kereta dan beberapa penduduk kampung berkumpul di situ.

“Assalammualaikum Pak Salleh”

“Wa’alaikumussalam Syafiq”

“Ni ada apa ni pak Salleh?”

“Kamu buat apa pula kat sini? Masuk maghrib dah ni”

“Oh saya kesini nak bawakan nek Wan kemenyan yang dia minta tadi”

Mendengar kata kata Syafiq tadi, raut wajah pak Salleh berubah kebingungan dan hairan dengan apa yang didengarnya.

“nek Wan?”

“a’ah”

Syafiq kemudiannya terdiam apabila melihat beberapa penduduk kampung membawa turun sekujur tubuh bertutupkan kain putih dari rumah nenek tua ke arah van jenazah yang berada berdekatan situ. Pak Salleh memberitahu Syafiq bahawa nek Wan telah meninggal empat hari yang lepas namun baru di sedari hari ini kerana terhidu bau yang sangat busuk datang daripada rumah itu.

NOVEMBER 2019

“Hingga ke hari ini saya masih terfikir kalau nek Wan meninggal sudah 4 hari yang lepas, jadi dengan siapa saya bercakap dan peluk pula pada petang hari tu 19 tahun yang lalu?” Syafiq menamatkan ceritanya.

Keenam enam mereka khusyuk berpandangan ke arah Syafiq yang baru saja menghabiskan ceritanya dan semuanya diam tanpa sekelumitpun kata yang terpacul. Mereka tidak menyangka sahabat mereka akan menceritakan cerita tersebut untuk sesi pertemuan tengah malam.

“Usah di fikirlah, moga rohnya damai di sana” Darrel memecahkan sunyi

“ermm..” Syafiq mengiyakan.

Mereka bertujuh kemudiannya bergerak ke khemah masing masing yang berada di tepi pantai untuk beradu. Syafiq memandang ke arah bulan yang tadinya terang kini dinaungi awan, perasaan malam itu persis sama seperti kejadian yang menghantuinya beberapa tahun yang lalu. Redup bulan dan sunyi persis sekali..


by: Naturemujahid  



Thursday, 30 January 2020

LUNA & TERRA

Bismillah Alhamdulillah


That night, there are no clouds and moon brightly shines the earth sky with its beautiful grace. On the beach two guy walk along and has a conversation 

Eric : "Tonight is beautiful right Shusuke?" while looking at the moon

Shusuke : "it sure is"

Eric : "Do you know what's the moon thinking while looking at the earth?" with a smile he turn over facing Shusuke.

Shusuke : "the moon probably think that the earth is all that matter... it really that matter, so she has to orbit around him" he then further 

"it really matter, if the earth did not exist, the moon wouldn't exist either" 

Eric : "wow that is so deep and romantic" frown.

The beach is so tranquil, beats of waves can be heard as if music that accompany the cold night.

Shusuke : "It's getting late. they probably waiting for us. lets go" 

............

What do you think the moon thinking while looking at the earth? 
[site from one of the episode in the NATURE novel]


by: Naturemujahid

Thursday, 5 December 2019

GALAP SUNGAI PETAGAS





Sudah 19 tahun peristiwa hitam itu berlalu. Aku mengambil lebih kurang setahun juga untuk mengatasi trauma, trauma kehilangan teman baik oleh sosok yang selama ini aku tidak yakini kewujudannya. Semakin menginjak dewasa aku mulai sedar bahawa mereka ini juga makhluk tuhan yang mana kami berkongsi alam ini bersama.

Kejadian yang berlaku pada tahun 2003 itu membuatkan aku tidak pernah menyukai untuk berada di sekeliling air baik laut, tasik hatta sungai sekalipun. Meski kejadian itu sudah lama dan aku berjaya mengatasi trauma namun aku tetap di hantui dengan bayangan silam yang seolah tidak luput.


****************

“Rel tolong aku rel!”

“Rel tolong!”

Bunyi kocakan air dan sayup-sayup jeritan meminta tolong itu kedengaran di balik derasnya air sungai. Kelihatan budak berusia 13 tahun itu dengan badan yang basah kuyup berlarian di tebing sungai sambil membawa dahan kayu yang panjang bersamanya. Lumpur yang memenuhi badannya tidak di hiraukan. Acap kali dia terjatuh kerana permukaan yang licin namun dia tetap berlari mengejar tanpa sekali matanya berkalih daripada sosok yang sedang lemas itu.

“Bibi, pigang kayu ni”

“pigang ini kayu ayuh” jeritnya

Air yang deras itu semakin mengganas dan membawa budak hanyut jauh ke tengah sungai.

“Bibi berenang pigi sini”

Budak lelaki bernama Bibi itu sedaya upaya menongkah arus untuk berenang ketepian sambil tangannya berusaha untuk mencapai dahan kayu panjang yang di bawa oleh temannya.

“Bibi sikit lagi”

Tangan Bibi yang kecut kerana berada di dalam air terlalu lama berjaya menggenggam hujung dahan kayu tersebut. Dengan segala kudrat yang dimiliki, temannya berusaha menarik Bibi ke tebing sungai.

“bertahan Bibi, sikit lagi”

tanpa di jangka tiba-tiba berlaku pusaran air di belakang Bibi dan dalam sekelip mata Bibi di tarik ke dalam sungai. Terasa dahan kayu yang di pegang Darrel itu memberat seolah ada tenaga yang menarik. Suasana menjadi sunyi. Lansung tidak kedengaran jeritan Bibi mahupun bunyi kocakan air di permukaan.

“BIBI!” jerit Darrel keras dan nyaring.

Nama itu di ulang-ulang seakan mentera yang bergema memanggil teman baiknya. Suara rintihan dan cemasnya itu terkaku tatkala pusaran di permukaan sungai muncul semula. Dalam samar matanya yang digenangi air, jelas kelihatan sosok reptilia yang memandang tajam ke arahnya. Suara Darrel terkunci, sedih, gerun jelas menyelubungi jiwanya yang masih mentah.

“Darrel?”

“Darrel?”

“Darrel!”

Lamunannya tersentak. Kelihatan seorang gadis muda yang bertudung labuh menyapanya.

“eh Dian, bila kamu sampai?” sambil mengesat pipinya yang basah.

“baru juga” … Dian kemudiannya menyambung “Darrel kamu ok?”

“ya, aku okay” sambil mengukir senyuman.

“perkenalkan ini sepupu saya Purnama”

“salam kenal, saya Putri Purnama Gutowo” sambil menyusun sepuluh jari di hadapan mukanya tanda perkenalan

“Salam kenal. Terima kasih sudi datang Dian, Purnama.”


*****************


“Allahurabbi, kecilnya dunia kan” senyum Dian

“mamamu dulu itu kawan sepermainan pakcik masa di kampung”

Sambil menjamah ikan bakar ke dalam mulutnya pakcik Bidin melanjutkan lagi

“nakal betul mamamu tu dulu aku masih ingat lagi”

Makan malam itu dipenuhi dengan gelak tawa yang menyuamkan suasana malam yang dingin. Juadah ikan bakar dan sayap ayam bakar yang memang menjadi kepakaran pakcik Bidin sekeluarga menjadi santapan mewah mereka.

“Kak Dian ini mak senior ku masa di UMS dulu” beritahu Wawa

“oh. Jadi satu jurusan sama si Wawa ka Dian?” tanya makcik Rohani

“endak makcik. Cuma saya seniornya dalam majlis perwakilan pelajar dulu”

“terima kasih pakcik, makcik sebab boleh tumpangkan Dian sama sepupunya bermalam disini”

“tiada masalah Darrel, pada idi mato bah” sampuk Wawa.

“lancar juga oh bahasa bugismu Wa”

“tedalah kak Dian, biasa-biasa seja ni” selorohnya.

Seusai makan malam kesemuanya sedang beristirehat di ruang tamu sambil melayan drama di tv3 lalu Darrel mengisyaratkan lambaian tangan ke arah Dian dengan tujuan memnggilnya

“Dalam pagi besok begitu kita mulai tugas kita boleh?”

“insyaAllah boleh”

“kalau begitu, aku gerak dulu, haripun makin lewat sudah ni”

“ok Darrel”

Darrel kemudiannya bergerak menuju kereta yang diparkir di hadapan rumah sepupunya Salwah itu sebelum Dian memanggilnya semula

“Darrel!” jerit Dian

“ya?” sambil menoleh kebelakang

“Jangan terlalu di fikir ya.”

Darrel mengisyaratkan ibu jarinya tanda mengiyakan kata temannya itu sambil memasuki kereta dan berlalu dari situ.


*****************


“Inilah dia, sungai yang aku cakapkan tu” sambil menuding jari di hadapan sungai Petagas yang luas terbentang.

Suasana sungai ini sudah banyak berubah daripada 19 tahun yang lalu, banyak binaan sudah membuatkan sungai ini berubah dampaknya. Cuma satu yang masih tidak berubah iaitu warna air sungai yang sentiasa berlumpur. Lumpur yang sentiasa mengotorkan pakaian sesiapa saja yang turun ke sungai ini, seperti mana ianya mengotori fikirannya sejak bertahun.

“suasananya damai meski berhampiran dengan lapangan terbang dan kesibukan kota” kata Purnama.

“jangan biarkan kedamaiannya mengaburkan mata kamu Purnama. Sungai ini banyak menyimpan kisah” Darrel merenung jauh ke tengah sungai.

“eya kamu benar Darrel. Ini sungai bukan sungai biasa” kata Dian.

Purnama dan Darrel serentak memandang ke arah Dian yang sedang tersenyum sambil memandang ke arah yang di lihat oleh Darrel tadi.

Dian boleh merasakan ada suatu perasaan aneh berkaitan sungai Petagas yang dikunjunginya ini. Perasaan intuisi yang hanya boleh dirasakan bagi mereka yang dikurniakan kebolehan indigo sepertinya.

“Disini kejadian 19 tahun yang lepas” kata Darrel sambil menuding jari ke arah permukaan air.

“apa yang berlaku masa tu Darrel?” tanya Dian


*****

Dalam samar matanya yang digenangi air, jelas kelihatan sosok lembaga hodoh yang memandang tajam ke arahnya. Suara Darrel terkunci, sedih, gerun jelas menyelubungi jiwanya yang masih mentah.

Dalam keadaan kaku dia teringat pesan guru pengajinya tentang kehebatan ayatul kursi dan membacanya dalam hati berulang kali sehinggalah pemandangannya menjadi kabur dan hitam.

“nak bangun suda?”

“momy? Sa di mana ni?”

“kamu di rumah nak. Orang kampung jumpa kamu di tepi sungai”

Dalam samar dia cuba mengingati apa yang telah berlaku dan seperti orang yang meracau dia menjerit sambil menangis. Kadang kala dalam tidurnya dia mengigau memanggil nama temannya itu. Kadang kala juga dia mengigau ketakutan seolah-olah ada makhluk yang cuba mengejarnya.

Tiga hari kemudiaan, polis mengesahkan penemuan seorang mayat kanak-kanak lelaki di sungai Petagas. Orang tua Fakhrul atau mesra di kenali dengan Bibi telah melaporkan kehilangannya setelah mendapati anak mereka tidak kembali ke rumah. Selesai penyiasatan di jalankan akhirnya polis membuat keputusan kematian Bibi adalah insiden malang kerana mati lemas ketika bermandi manda di sungai. Namun Darrel mengetahui perkara sebenar akan kematian temannya itu bukannya kerana lemas tetapi angkara makhluk air yang menghuni sungai Petagas.

“selepas kejadian itu, aku tidak berani untuk dekat dengan badan air lansung.” mengakhiri ceritanya.

“Kamu masih berdendam dengan apa yang berlaku?”

“dulunya memang aku berdendam, tapi semakin meningkat dewasa aku sedar mesti ada sebab dan hikmah kenapa ini semua berlaku.” …. “Cuma aku mau tau sebab kenapa walaupun sudah 19 tahun peristiwa ini berlaku, aku masih seperti di hantui oleh kejadian ini” kata Darrel lemah.

“sebab tu kamu minta tolong saya? sebab saya boleh tengok benda-benda ghaib ni?” mencepetkan matanya tanda bergurau.

“itu salah satunya, ada sebab utama lagi sebenarnya haha.” jawab Darrel

“apa dia?”  rasanya ingin tahu.

“aku rasa kau tahu jawapannya”

Dian hanya tersenyum mendengar jawapan temannya. Dia sedar antara mereka semua hanya dia yang arif tentang selok belok dunia alam ghaib yang begitu cetek di pengetahuan manusia biasa.

“kamu ada bawa apa-apa barang yang berusia 19 tahun lepas?” tanya Dian

“ada.”

Darrel mengeluarkan baju lusuh daripada beg galasnya. Baju yang kecil itu adalah baju yang dipakainya pada hari kejadian.

“ambil ini” 

Dian memberikan Purnama dan Darrel setiap seorang uncang lusuh yang mengandungi serbuk seperti garam dan parutan daun limau.

“kalau tiba-tiba ada pusaran air muncul daripada permukaan sungai, taburkan garam ini di sekeliling kmurang”

Purnama dan Darrel mendengar dan serentak mengangguk.

Dian kemudiannya bersila diatas batu berdekatan sambil meratap tasbih di tangannya. Pakaian lusuh milik Darrel tadi di letak diatas pangkuan. Beberapa minit berlalu air di permukaan sungai menjadi semakin deras dan tidak semena berlaku beberapa pusaran air berdekatan.

Tanpa membuang masa, Purnama menggenggam segumpal campuran garam tadi dan menabur disekelilingnya. Darrel pula berdiri kaku tanpa melakukan apa-apa. Perasaan trauma serta ketakutan yang dialami membuat dirinya tidak berdaya.

Muncul daripada pusaran air kelihatan mata, hidung dan telinga  seakan reptilia. Samar-samar bayang di dalam air boleh di agak yang panjangnya adalah 7 meter atau 23 kaki. Pandangan matanya tajam ke arah Darrel yang sedang terpacak kaku di tebing sungai.

Dian yang tadinya bersila kemudiannya berdiri dan mulutnya berkelumit membaca beberapa ayat rukhyah. Pusaran air semakin membesar dan kelihatan seolah mendidih sebelum mata makhluk tadi beralih kepadanya.

“Astaghfirullah apa itu?” jerit Purnama

Kejadian bertentang mata itu berlaku untuk beberapa detik sebelum makhluk tersebut hilang semula ke dalam air dan permukaan sungai menjadi tenang semula. Dian hanya menarik nafas dengan dalam sebelum bergerak ke arah Darrel yang kelihatan sudah terduduk di atas pasir sungai.

Allahuakhbar.. Allahuakhbar

Kedengaran azan maghrib berkumandang daripada masjid Kg.Muhibbah dan Kg.Petagas. Dian mengisyaratkan agar mereka kembali dulu ke rumah. Seusai solat maghrib Dian mendatangi Darrel yang kelihatan sudah semakin kuat daripada sebelumnya.

“Kamu ok kah Darrel?”

“maafkan aku Dian. Iya aku ok sudah”

“apa kamu suda siap dengan apa yang akan saya ceritakan?”

“eya, aku siap”


***********************************

“Assalammualaikum wahai makhluk Allah”

Dian meneruskan

“andai kamu jin muslim jawablah salamku, andai kamu jin kafir tunjukkanlah dirimu yang sebenarnya”

Makhluk yang kelihatan seperti seekor buaya itu tadi menjelmakan dirinya dalam rupa berupa manusia namun tidak sempurna, rambutnya kelihatan panjang kehijauan seperti daun nipah manakala di kepalanya memiliki dua tanduk. Rupanya muncung persis seperti sosok seekor belut dan pada tubuhnya di penuhi sisik berlumut. Matanya tampak kebiruan seperti batu turkoise.

Makhluk tersebut bertutur dalam bahasa Sanskrit kuno tapi disebabkan mereka berkomunikasi melalui alam separa sedar, Dian seolah mengerti akan apa yang diperkatakan.

“manusya, aku bernama Suhita”

Makhluk itu kemudiannya meneruskan bicaranya

“aku sudah hidup di alam air ini sejak pemerintahan majapahit lagi. Aku dan kerabatku sudah menghuni sungai ini sebelum manusya menghuni disini”

“Manusia di beri mandat kekhalifahan oleh tuhan untuk memerintah alam ini”

“dengan mandat daripada tuhan pemilik langit dan bumi saya selaku hambanya ingin bertanya tentang kejadian 19 tahun yang lalu”

“manusya makhluk yang sombong dan berdebah.” Katanya sambil diiringi hilai tawa yang nyaring

Tanpa membuang masa, Dian mengelumit lagi membaca rukhyah dan hilai tawa itu tadi beransur berubah menjadi jeritan kesakitan. Dian mengerti bahawa makhluk jin seperti ini akan berasa tinggi apabila manusia seakan meminta pertolongan atau bantuan daripada mereka. Sebab itu dia membaca ayat rukhyah untuk menunjukkan bahawa dia tidak meminta pertolongan daripada makhluk jin seperti Suhita tetapi pergantungan kepada Allah s.w.t.

Setelah beberapa detik dialog antara mereka berdua berakhir dan makhluk tersebut menghilangkan diri ke dalam sungai. Dian kelihatan menarik nafas dengan dalam.


****


“begitu rupanya” Darrel merenung ke lantai sambil terduduk.

“maksudmu Darrel dan kawannya pernah menganiaya waris mereka?” tanya Purnama

“dipandangan mata mereka eya, Darrel dan kawannya bertanggungjawab menganiaya salah satu kerabat mereka, boleh saya perincikan lagi tepatnya anak Suhita” jelas Dian.

“tapi, mereka masih kecil lagi waktu itu, belum mengerti apa-apa. Lagipun anak Suhita menjelmakan dirinya menjadi seekor ikan yang cantik dan berenang di tepi sungai yang jelas memasuki alam kita manusia” panjang Dian.

“sekarang apa itu makhluk mahukan?” tanya Purnama lagi.

Sambil memandang ke arah Darrel, Dian berkata

“saya rasa Darrel ada jawapannya”

Dalam kondisi menutup mata, Darrel mengingat kembali peristiwa yang berlaku 19 tahun lepas dengan seimbas, lalu membuka mata

“aku tahu apa yang perlu dilakukan sekarang”

Cuaca pagi kelihatan sedikit hening, jalur mentari di ufuk langit samar-samar menyimbah ke bumi dek di payungi awan. Berbekalkan kudrat empat keratnya Darrel menggali tanah berdekatan dengan semak yang pernah dihuni oleh penduduk disitu sebelum mereka berpindah kerana kebakaran yang melanda beberapa tahun lalu.

19 tahun yang lalu

“Rel ko tengok tu, punya cantik tu ikan”

“iyalah. Ikan apa ni ah”

“pigi ko ambil tu bekas saya sana”

Bibi kelihatan turun perlahan-lahan ke tepi sungai yang sedang cetek airnya, ikan berwarna keemasan itu kelihatan leka sedang berenang di celahan batu-batu sungai. Dengan tangkas Bibi mengaut air sungai tadi lantas memerangkap ikan keemasan sebesar ibu jari itu ke dalam bekas miliknya.

Kegembiraan kanak-kanak jelas kelihatan kerana berjaya menangkap ikan yang begitu cantik tanpa mereka sedari rahsia disebalik ikan tersebut. Keduanya berlari girang menuju ke rumah Bibi yang terletak tidak jauh daripada tebing sungai Petagas. Sedang leka bermain dengan hasil tangkapan mereka, langit menitikkan renyai hujan meski cuaca ketika itu panas membakar.

“alamak ikan ni melompat keluarlah” kata Bibi

“bah cepat kasi masuk balik dalam air nanti dia mati”

Keduanya berusaha menangkap ikan itu namun badan ikan itu terlalu licin, lebih kurang lima minit kemudian kelihatan ikan keemasan sudah tidak lagi bernyawa.

“nah tengok mati suda” kata Darrel

“inda apa. Mesti ada lagi tu di sana. Ayok kita pigi” ajak Bibi

“jadi ni ikan macam mana?”

“buang seja situ atau bagi kucing ku makan”

Bibi kemudian bergegas turun daripada rumahnya lalu menyarungkan selipar dan bergegas ke tempat dia menangkap ikan tadi.

“Bibi tunggu!”

Hati nuraninya tersentak melihat jasad ikan keemasan yang sudah tidak bernyawa itu. Lalu dengan kudrat yang ada dia menggali tanah berdekatan pohon kelapa rumah Bibi. Apabila dirasanya cukup dalam, Darrel mengubur ikan tersebut dan menandakannya dengan batu sungai yang di ambilnya beberapa hari lepas.

“maafkan kami wahai ikan. Moga rohmu bersemadi dengan aman”

Seusai membaca ummul kitab, Darrel bergegas mendapatkan Bibi.


*****************************


“Sepatutnya ada disini” Darrel menjadi panik

“mungkin disitu” Dian menuding jari telunjuknya ke arah pohon kelapa yang sudah rentung terbakar

Dengan gopoh Darrel berlari anak ke arah yang ditunjukkan Dian dan disitu dia melihat dengan jelas batu sungai yang pernah di letakkannya sebagai tanda.

Tidak berapa lama kelihatan rangka tulang ikan yang masih terpelihara dengan baik, sempurna tanpa hancur di mamah tanah.

“Alhamdulillah, ikan ini masih ada disini”

Mereka bertiga kemudiannya bergegas ke tebing sungai tempat mereka menemukan makhluk tersebut kelmarin. Darrel tanpa berasa takut dan memasang tawakkal yang tinggi kepada Allah turun ke tebing sungai dan berjalan sehingga air mencecah paras lututnya. 
  
Dia membongkokkan diri lalu memasukkan tangannya yang memegang rangka tulang ikan keemasan ke dalam air sungai. Justeru kemudian, langit yang tadinya suram kini disinari terik mentari diiringi titis gerimis, persis keadaan 19 tahun yang lalu.

Kelihatan pusaran air muncul di permukaan sungai dan menjelmalah seekor buaya besar berenang dengan laju menuju ke arah Darrel.

“aku tahu kini kenapa meski sudah berlalu 19 tahun lamanya namun aku masih di hantui dengan perasaan ini. Masih ada ketidakadilan yang perlu aku betulkan”

Buaya tadinya memperlahankan renangannya semakin ia mendekati Darrel.

“aku kembalikan semula warismu kepadamu. Maafkan aku kerana telah merampasnya darimu”

Buaya itu tadi kemudian membuka rahangnya lalu Darrel meletakkan rangka tulang ikan ke dalam. Andai tuhan mentakdirkan untuk dirinya mati disitu, dia suda siap untuk menerima takdir tersebut.

Perlahan-lahan buaya itu mengundurkan diri menjauhi Darrel dan menutup mulutnya lalu tenggelam semula ke dalam sungai. Air mata deras mengalir bersama esakan seakan menunjukkan sebuah kelegaan daripada sejarah hitam yang membelenggu diri. Dia merasakan seolah beban yang selama ini di pikul di pundaknya terasa ringan.

“Alhamdulillah, akhirnya kita berjaya!” kata Purnama dengan nada gembira.

“terima kasih Dian atas pertolonganmu” sambil Darrel melemparkan senyumannya yang paling manis.

“Semua ini ketentuan qadar dan qada Allah Darrel. Saya sekadar pemudah cara” katanya sambil senyum.

Ketiga mereka kemudiannya bersama-sama meninggalkan tebing sungai Petagas yang menjadi saksi kejadian paranormal sejak berabad lamanya. Sungai yang sentiasa menjadi kegerunan dan lagenda masyarakat di kampung Petagas. Meski hampir di mamah pembangunan namun semangat angker sungai ini tidak pernah malap.

Angin lembut berhembus mengenai telinga Darrel dan seolah itu dia seperti mendengar bisikan suara yang dirinduinya.

“Terima kasih Rel”

Darrel mengalihkan kepalanya kebelakang dan memindahkan pandangannya ke arah sungai petagas. Matanya seolah mencari sesuatu

“Damailah kau disana Bibi” katanya dalam hati.

Dian tersenyum melihat telatah Darrel. Dia hanya meneruskan langkahnya ke depan seolah pada senyumannya itu dia mengetahui apa yang berlaku.