Tuesday 10 December 2019

2019 : TAHUN TRIBULASI DAN MEHNAH

Bismillah Alhamdulillah


Terlalu banyak perkara yang berlaku selepas bergraduasi lima tahun lepas. Terlalu banyak peristiwa dan kejadian serta pengalaman yang sangat mendewasakan diri. Sebaik menamatkan pengajian dan meninggalkan alam kampus, ternyata alam nyata begitu ganas dan dalam arusnya. Jujur saya menjadi seronok dengan kebebasan dunia sehingga merasakan bisa melakukan apa sahaja lalu dunia dakwah, dunia pena di tinggalkan beberapa tahun. Sebab itulah blog ini sunyi untuk tempoh yang lama. Alhamdulillah saya mula bertatih semula tahun ini dengan harapan boleh berterusan hendaknya. 

Selain tahun 2007 yang saya menganggap ianya tahun penuh dengan kepayahan dan jerih, rupanya tanggapan itu meleset sama sekali. Sepanjang hidup sudah 28 tahun di bumi Allah ini, tahun 2019 merupakan tahun tribulasi dan mehnah yang betul betul menguji keimanan.

Peristiwa terbesar yang berlaku tahun ini ialah apabila saya di diagnos oleh Doktor dengan penyakit berbahaya iaitu TB atau Tuberculorsis. Selama tiga bulan ditahan di wad dan tempoh itu saya merasakan azab yang luar biasa sekali. Dalam tempoh itu juga membuatkan diri ke satu tahap mengalami depresi hingga tidak sudah peduli tentang berharganya nyawa yang Allah beri. 


Banyak hikmah yang bisa di perolehi daripada ujian sakit yang Allah beri ini. Moga apa yang berlaku menjadi ikhtibar buat diri dalam menghadapi hari hari mendatang. Pada 2012 dulu saya pernah membuat satu "entri" dalam blog ini tentang Mehnah dan tribulasi dan bertanya kepada Allah kapan pula saya akan di uji dengannya, pertanyaan di hati itu Allah kabulkan setelah tujuh tahun lamanya. Dalam penulisan itu ada pepatah yang saya minati iaitu "You never know how strong you are until being strong is the only choice you have" dan ianya sangat betul. Kita tidak akan tahu sekuat mana kita ini sampailah hanya dengan menjadi kuat satu satunya pilihan yang ada.

Saya bersyukur kerana dalam keadaan seperti itu ada keluarga yang sangat mengambil berat. Ada mommy yang sedia menemani saya di sisi sepanjang di wadkan di hospital, ada Daddy yang tidak berhenti mendoakan, ada adik beradik yang sentiasa berkorban memenuhi kehendak diri, ada Makcik dan sepupu yang rajin berziarah serta tidak di lupa sahabat serta kenalan kenalan yang begitu mengambil berat akan diri ini. Seperti kata pepatah inggeris "if you want to know how rich you are, count the things you have that money can't buy". 

Ujian sakit ini adalah ujian terbesar yang Allah berikan kepada diri ini di tahun 2019 diikuti dengan kehilangan kerja kerana tidak boleh hadir ke pejabat untuk melaksanakan tugas. InsyaAllah ada rezeki di mana mana. Kena yakin saja padaNya. 

Ada dua perkara yang ingin saya kongsikan disini buat tatapan diri sendiri suatu saat kelak dan juga buat semua yang membaca andai ianya boleh di jadikan ikhtibar dan pengajaran.

Pertamanya : Satu kata kata positif itu boleh merubah hidup seseorang

Ini betul terjadi pada diri saya sendiri. Tatkala moto hidup yang selalu di pegang iaitu "be positive always" teruji pegangannya, ada seorang kakak yang Allah kirimkan lewat kata katanya yang sangat memberi impak dan kesedaran dalam diri. Kata kata itu dihantar seusai solat subuh dan berbunyi seperti ini 

"Sabar itu memang menyiksa, tapi percayalah... sehabis ini akan Allah berikan kebaikan yang luar biasa untukmu

 Kita tidak akan pernah tahu bila sesuatu kebaikan yang kita lakukan itu sangat di butuhkan oleh orang lain. Oleh itu kita kena sentiasa melakukan kebaikan hatta dengan katakata motivasi sekalipun kerana bisa berkemungkinan ada yang sangat memerlukannya. 

kedua dan terakhirnya ialah : Dalam keadaan kita yang susah barulah kita tahu warna sebenar peribadi seseorang. 

Pepatah inggeris ada mengatakan "it is during the worst times of your life that you will get to see the true colors of the people who say they care for you" dan alhamdulillah majoriti kenalan yang mengenali diri ini sangat mengambil berat akan kondisi diriku. Saya rasa bertuah sangat rupanya ramai di luar sana yang begitu mengambil berat. 

Beberapa hari sebelum diri ini "discharge" keluar daripada wad, Allah hadiahkan perkara paling berharga pada diri ini iaitu ada seorang daripada sohibul choki yang datang menziarah. Allah saja tahu betapa gembiranya hati ini sahabat dunia akhirat datang melawat. 


Terubat juga rindu setelah lima tahun lamanya tidak bersua. Sahabat saya ini Umar Farid bin Jamhari namanya atau mesra di panggil dengan 'Umaq kecil'. Peribadinya sangat saya kagumi dan dialah juga yang menjadi watak inspirasi 'Habib' dalam Novel Choki yang insyaAllah akan saya terbitkan suatu masa kelak. 

Dalam pada saya menaip "entri" ini, saya masih dalam fasa rawatan iaitu masih dalam proses mengambil ubat TB yang perlu di lengkapkan selama 9 bulan ke satu tahun lamanya. Moga tahun ini bisa menjadi pengajaran untuk menempuh hari hari yang mendatang insyaAllah. 

Coretan December  
Naturemujahid
(10.12.2019)

No comments:

Post a Comment

Coretan Antum ^ ^