Thursday, 7 July 2011

SYA'BAN : FADHILAT DAN PERISTIWA BESAR

Bismillah Alhamdulillah



Selepas Rejab, tibalah pula Sya'ban yang merupakan bulan kelapan daripada 12 bulan di tahun hijrah. Saya ingin kongsikan satu hadis mengenai bulan ini.


فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ

Yang Bermaksud : Saidatina ‘Aisyah (r.a) berkata : Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat di dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya'ban (HR al-Bukhari)

Seperti kebiasaan, saya akan kongsikan asal usul nama Sya'ban dan kenapa di namakan Sya'ban. Ulama membahaskan ini panjang lebar dan diantaranya saya boleh mengutip perkataan Sya'ban ini berasal daripada perkataan "syibu" yakni sebuah jalan di gunung yang tidak lain adalah jalan kebaikan. Sya'ban juga bermaksud berpecah pecah atau berpuak puak. Masyarakat Quraisy ketika itu berpecah mencari air di padang pasir.

Menurut Sayyid Muhammad Alwi Al Maliki di dalam kitabnya Ma Dza fii Sya'ban dinamakan Sya'ban kerana ianya bermaksud terpancar daripadanya keutamaan dan kebaikan dan pada hemat saya, saya lebih bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh Sayyid Muhammad Alwi dalam kitabnya.

Petikan dalam kitabnya ini berdasarkan daripada hadis yang mahsyur dimana Rasulullah bertanya kepada para sahabat "tahukah kalian kenapa dinamakan dengan bulan Sya'ban?" Para sahabat menjawab "Allah dan rasulnya lebih mengetahui" sabda Rasulullah s.a.w "kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali" dipetik daripada kitab Raudhatul Ulama.

Berbalik kepada hadis diatas, keutamaan dapat kita lihat pada bulan ini yakni Rasulullah s.a.w banyak berpuasa di bulan ini selain daripada bulan Ramadhan. Bagi kita yang begitu mencintai Rasulullah, sudah pasti kita akan melaksanakan sunnahnya. 

PERISTIWA PERISTIWA DI BULAN SYA'BAN

1. PERPINDAHAN KIBLAT 

Seperti yang diketahui, kiblat pertama umat Islam ialah di masjidil Aqsa yang berada di Palestin dan pada 13 Sya'ban tahun kedua hijrah, kiblat kita telah berpindah ke masjidil haram hinggalah ke hari ini. 

2. MALAM NISFU SYA'BAN

Nisfu bermaksud separuh dimana nisfu sya'ban bermaksud separuh daripada Sya'ban iaitu berlaku pada 15 Syaban. Hadis yang boleh di pegang mengenai nisfu Sya'ban ialah 

"Allah melihat hamba hambanya pada malam nisfu Sya'ban, maka diampuni semua hambanya kecuali musyrik dan mereka yang bermusuh (HR Hibban, Al Bazzar dan lain lain)

3. KELAHIRAN ABDULLAH BIN ZUBAIR

Pada 2 Sya'ban tahun kedua hijrah lahirlah putera kepada Zubair Al Awwam dan Asma Abu Bakar 

4. KELAHIRAN CUCU RASULULLAH S.A.W AL HUSAIN BIN ALI BIN ABI THALIB 

5. PUASA DISYARIATKAN

6. TERJADINYA PERANG GHAZWAH BANI AL MUSHTOLIQ 

Bani Mustaliq merupakan salah satu puak daripada kaum yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh nabi dan berita tersebut disampaikan oleh seoran sahabat badwi kepada Rasulullah s.a.w. Mereka akhirnya diusir daripada kota Madinah dan di perangi. 

Sedikit sebanyak saya kongsikan tentang fadhilat bulan Sya'ban dan peristiwa yang berlaku padanya. Moga bermanfaat buat semua. Adapun mengenai nisfu Sya'ban banyak berlaku hadis dhaif padanya dan mungkin pada kesempatan akan datang saya cuba kupaskan. Kena banyakkan buat "research" sebelum apa apa juga. 


suntingan terbaru:
25.02.2020 M (1 Rejab 1441H)

No comments:

Post a Comment

Coretan Antum ^ ^