Tuesday 29 January 2013

AKU SENANG MELIHATMU DEKAT DENGAN ALLAH

Bismillah Alhamdulilah


Rasulullah s.a.w sangat mengambil berat eksistensi insan-insan penting dalam hidup Baginda. Cara Baginda melaksanakannya dapat diperhalusi melalui banyak hadis.

Terdapat seorang sahabat bernama "Ata" seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Mardawih. "Ata" bercerita :"Saya, Ibn Umar dan Ubaid bin Amir pergi ke rumah Aisyah r.a. Saya berkata kepada Aisyah : "Ceritakan kepada kami perkara paling mempersona daripada semua yang pernah kau saksikan pada diri nabi"

Aisyah r.a menarik nafas panjang, kemudian berkata dengan nada hiba menahan tangis "Semua perilakunya menakjubkan bagiku"

Aisyah r.a memberitahu lagi "Suatu malam, ketika baginda tidur bersama-samaku dan kulitnya bersentuhan dengan kulitku, baginda berkata "Wahai Aisyah, izinkan aku beribadah kepada tuhanku""

Aku berkata : "Sesungguhnya, aku senang berada dekat denganmu. Tetapi aku lebih senang melihatmu beribadah kepada tuhanmu"....

Peribadi seorang wanita dan Isteri yang solehah... kepada seorang insan yang mulia dan merupakan penghulu segala alam ini. 

Mari bermuhasabah sejenak... 

"Aku senang melihatmu dekat dengan Allah"

ULAMA IBARAT CHEF

Bismillah Alhamdulillah


Selepas mengumpul ilmu, cabaran kita seterusnya adalah menyampaikan ilmu tersebut. Tugas menyampaikan ilmu hakikatnya bukan sesuatu yang mudah. Kebijaksanaan memilih perbahasan yang sesuai dengan masyarakat diperlukan. Prinsip inilah yang harus ada. Saya juga masih memperdalamkan ilmu dan siapa lah saya yang kerdil ini untuk mengulas tentang insan yang paling takuti Allah yakni ulama.

Seorang ulama itu mesti pandai menyaring maklumat yang hendak disampaikan. Setiap maklumat yang berpotensi melahirkan kekeliruan dan perbalahan tidak boleh dilontarkan kepada masyarakat.

Imam Al-Ghazali mengatakan dalam kitab Ihya Ulum al-Din: 

"Usah membawa masyarakat awam kepada perbahasan-perbahasan yang sukar difahami. Tetapi cukuplah ajarkan mereka tentang ilmu tatacara ibadat dan sikap amanah dalam bermuamalah.."

Pada hematku, seorang ulama itu persis seperti seorang pakar tukang masak. Dia mesti berupaya menghidangkan makanan yang disukai para pelanggannya. Begitu juga seorang ulama, dia mesti berupaya menyampaikan ilmu yang boleh diterima oleh akal dan hati masyarakat. 

Ulama yang bijak bukan semestinya mengetahui semua perkara, tetapi pandai memilih perbahasan yang sesuai

Terakhirnya semoga Allah menunjukkan jalan kita kepada dakwah yang dapat membawa kita menuju redhaNYA.


Nukilan : Naturemujahid

SILAU KEIKHLASAN

Bismillah Alhamdulillah


Orang ikhlas itu seperti suluhan lampu. Jalan mereka terang dan terhindar dari kesusahan. Orang ikhlas itu buat kerja mereka mudah kerana Allah permudahkan juga terhindar dari kegelapan fitnah-fitnah kerana terangnya suluhan.

Ikhlas itu di definisikan sebagai "Bersih hati kerana Allahiaitu apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah dan tiada lainnya.

Imam Al-Ghazali mengatakan 

"Ikhlas ialah jalan yang boleh dapat kejayaan, tidak gagal"

Orang ikhlas itu wujudnya tidak membebankan serta membantu dan ketiadaannya pula tidak dirasa.

Nukilan : Naturemujahid

TOKOH DAN KETOKOHAN

Bismillah Alhamdulillah


Napoleon Bonaparte
(1769-1821 : Maharaja Perancis)
"Nabi Musa mengenalkan kewujudan tuhan kepada umatnya. Nabi Isa berbuat demikian pada dunia romawi dan Nabi Muhammad kepada dunia seluruhnya. Saya berharap masanya tidak lama apabila saya berupaya menyatukan seluruh cendakiawan seluruh dunia dan menyusun satu pentadbiran berasaskan prinsip al-quran, satu panduan yang membawa kebahagiaan kepada umat manusia"

Alphonse Lamartine
(1790-1869 : Pujangga dan Negarawan Perancis)
"Ahli falsafah, pemidato, penyeru, penggubal undang-undang, pahlawan, penguasa idea, pengembali kepada pemikiran rasional, pelopor kepada 20 empayar dunia dan satu empayar rohani, beliaulah Muhammad. Untuk diukur kehebatan Muhammad dengan sebarang penanda aras, kita harus bertanya semula adakah orang yang lebih hebat daripadanya?"

George Bernard Shaw
(1856-1950 : Tokoh teater, jurucakap golongan sosialis dan pengkritik sastera Irish. Pemenang hadiah nobel 1925)
"Saya yakin sekiranya seorang lelaki sepertinya memerintah dunia moden kini, beliau akan berjaya merungkai segala permasalahan sehingga membuahkan ketenangan dan kebahagiaan hidup yang begitu didambakan. Eropah kini mula tertarik dengan ajaran yang dibawa oleh Muhammad. Pada abad yang mendatang tidak mustahil mereka akan mengikhtiraf dan mempraktikkan ajaran tersebut didalam menghadapi masalah yang dihadapi."

Mahatma Gandhi
(1869-1948 : Pejuang kemerdekaan India)
"Saya ingin mendalami kisah hidup seorang manusia terbaik yang pada hari ini bekas pengaruhnya hidup dihati jutaan manusia. Saya penuh berkeyakinan bahawa bukan melalui mata pedang yang menempatkan Islam di sisi peradaban manusia ketika itu. Mudah tanpa memberatkan, kerendahan hati nabinya yang amat berhati-hati dengan perkataannya, keperkasaan dan keberaniannya serta keyakinan mutlak kepada Allah dan seruannya. Dengan inilah Islam hidup dan berhadapan dengan segala cabaran"

Michael H.Hart
(Ahli Sejarah, matematik dan penyelidik Amerika)
"Beliaulah satu-satunya manusia yang begitu cemerlang di kedua-dua bidang. Agama dan dunia. Dari permulaan yang begitu daif, Muhammad membangun dan menyebarkan salah satu daripada agama terbesar dunia dan menjadi pemimpin negara yang begitu efektif. Pada hari ini selepas 13 abad daripada kewafatannya, pengaruhnya tetap segar dan bertenaga"

Begitu sedikit perkongsian bahan bacaan yang dihadam. Bagaimana tokoh-tokoh hebat bukan Islam sendiri memuja dan mengagumi rasul junjungan kita, Rasulullah s.a.w.

Allahumma solli ala sayyidina Muhammad
tibbil qulub.. wada wa iha..


Sumber Rujukan :

1. Petikan daripada Christian Cherlis, Bonaparte At Islam Pedone d.Paris France 1941 (m/s105)

2. Petikan daripada Lamartine, vol 11 1954 (m/s 227) WAMY in Islam (what they said about Muhammad)

3. A collection of Writing of some eminent Scholars, 1935

4. The 100 A ranking of the most influential persons in History, Micheal H.Hart 

KALBU YANG SUCI

Bismillah Alhamdulillah


Kalbu seorang insan mengandungi keajaiban luar biasa. Di sinilah tempat bersemainya keindahan dan kenikmatan yang hakiki. Antara keindahan itu adalah apabila kalbu memasuki lautan iman dan cinta kepada Allah s.w.t

Rasulullah s.a.w menyebutkan perkara ini dalam sebuah hadis 

"Sesungguhnya, dikalangan hamba-hamba Allah ada beberapa orang yang bukan para nabi dan bukan para syuhada, tetapi para nabi dan syuhada menginginkan kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada mereka."

Lantas, para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepada kami, siapakah mereka itu?"

Rasulullah s.a.w menjawab "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah bukan kerana hubungan kerabat antara mereka, juga bukan kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah, wajah-wajah mereka adalah seperti cahaya dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut tatkala manusia ketakutan dan tidak bersedih hati tatkala manusia bersedih hati ".

Sedarilah oleh kita bahawa sesuatu yang terindah di alam ini tidak dapat dilihat dengan mata, disentuh dengan tangan dan dirasa dengan lidah. Kecantikan dan keindahan yang luar biasa hanya dapat dirasai oleh kalbu yang suci.

TRAVELOG DI MADRASAH AR RAHMANIAH SIK KEDAH

Bismillah Alhamdulillah

Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nahl ayat 43 :

"... maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai
pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.


Perjalanan seemster lima ku berakhir untuk tempoh ini. Masa yang ada terluang selama sebulan haruslah dimanfaatkan sebaiknya agar menjadi muslim yang sejahtera dari segenap aspek kehidupan. Alhamdulillah pada minggu lepas diri ini berpeluang bersama sahabat-sahabat seperjuangan berdaurah pondok terkenal di SIK iaitu pondok Tuan Guru Haji Salleh.



Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : 
"Menuntut ilmu itu adalah suatu kefardhuan wajib 
atas setiap muslim"


Suatu kelainan merasa pengajian pondok semenjak berkampung disana seminggu lamanya. Begitu banyak ilmu yang diperolehi untuk manfaat bersama. Nuansanya begitu menenangkan dan setiap masa ada saja pengisian pengajian kitab yang dilakukan oleh ustaz-ustaz bertauliah di sini. Sedikit perkongsian Ilmu yang diperolehi :

Imam As-Syafie telah menggariskan beberapa syarat untuk memperolehi ilmu

1. Cerdik
2. Ijtihad (Bersungguh)
3. Tamak dan Loba pada Ilmu
4. Ada Belanja
5. Turus Zaman (masa yang panjang)
6. Pandai guru mengajar




Begitu banyak mutiara ilmu yang diperolehi meski pengajian kitab tidak dapat dihabiskan sepenuhnya. Bukan jumlah kitab yang nak dihabiskan tetapi ilmu yang diperolehi itu yang dimanfaatkan. Suasana Pondok memang suatu yang baik untuk membangunkan sahsiah dalaman diri disamping menguatkan ilmu fardhu kifayah kita agar ianya bergerak seiringan. Terasa diri kita kanak-kanak yang baru mula bertatih dalam menuntut  ilmu fardhu Ain ini. Amanat Tuan Guru Haji Salleh ''bezakan mana Hak dan mana yang batil''