Saturday 1 February 2020

KATIL VINTAG



Malam kian larut, kelihatan langit semakin cerah di sinari rembulan yang kebetulan mengambang penuh. Bintang berkelip menghiasi dada ufuk, sepoi sepoi bayu berhembus di selangi bunyi unggas mewujudkan nuansa harmoni yang menenangkan tetapi juga meremangkan sesiapa yang menikmatinya.

Unggun api yang mereka nyalakan kelihatan semakin membara, menghangatkan tubuh tujuh orang sahabat yang sedang mengerumuni di kelilingnya.

“nah jam 12 malam sudah” Basri memberi signal melalui jam di pergelangan tangannya.

“Ok. Rasanya kita boleh mulakan” kata Syafiq sambil mengeluarkan kawah tembaga yang kecil.

Syafiq membuka penutup kawah tersebut yang saiznya sebesar jag air. Di dalamnya terdapat serbuk belerang berwarna kelabu yang akan di gunakan dalam upacara mereka setiap malam Jumaat pada setiap malam purnama. Syafiq kemudiannya memandang setiap seorang sahabatnya dengan perlahan lahan lalu berkata memecahkan hening

“dengan izin daripada persatuan tengah malam, sa panggil cerita ini sebagai Tilam Vintag” sambil di tangannya menggenggam serbuk belerang dan melemparkan ke dalam unggun api di hadapan mereka.

DECEMBER 2000

Cuti sekolah sememangnya ialah waktu yang sangat dinanti oleh kanak kanak sepertinya. Itulah waktu untuk mereka bermain dengan sepuasnya tanpa perlu memikirkan untuk belajar. Basri, Hairul, Darrel, Hassan, Ritchie dan Maidin sedang menunggu Syafiq di hadapan rumahnya masing masing dengan basikal mereka.

“sori, ada kerja sikit tadi kena siapkan”

“takpa”

“Jadi ke mana kita ni hari?” Syafiq bertanya dengan teruja

“Kita mandi manda kat lata Kerbau nak?” Hassan memberi cadangan

“Ha? Mandi lagi? Bukan dah kita mandi sungai kan tempoh hari” Maidin menyilangkan tangannya.

“itu sungai, ini lata. Tak sama” Ritchie menyampuk untuk menyokong.

Sedang mereka berenam sedang asyik berbincang untuk aktiviti mereka pada hari itu, di satu sudut jalan kampung kelihatan seorang nenek tua bongkok dengan pakaian lusuh membawa gumpalan herba kering di dalam raga buluh miliknya dengan tiga ekor ayam hitam di tangan kirinya.

“Assalammualaikum nek, boleh saya bantu?” Syafiq sambil tersenyum mendekati orang tua itu

“wa’alaikumussalam cu. Terima kasih”

Syafiq mengambil tiga ekor ayam yang di bawa oleh nenek tua itu tadi manakala raga herba itu di pegang menggunakan tangan kirinya. Darrel dan Hairul yang menyaksikan situasi tersebut turut mendekati Syafiq dan bersama mereka mengiringi nenek tua tersebut ke rumahnya.

Setibanya mereka bertujuh di hadapan rumah kayu yang usung di hujung kampung itu, nenek tua tersebut mempelawa mereka masuk namun Basri dan beberapa mereka yang lainnya menolak dengan lembut dan meminta untuk menunggu di luar sahaja. Syafiq dan Darrel akhirnya berdua menemani nenek tersebut ke rumahnya.

“Nek tinggal seorang saja disini?”

“ya cu.”

“ayam ayam ni nak letak kat mana nek?”

“letak saja di dapur cu, ada kandang kayu di belakang sana” nenek itu menudingkan jarinya kearah dapur.

Rumah kayu yang kelihatan usang daripada luaran itu terlihat kemas dan indah pada dalamannya. Kemas dan bersih, Cuma sesekali Syafiq terhidu wangian kemenyan di dalam rumah tersebut. Darrel pula berada di ruang tamu sedang bersembang dengan nenek tadi.

“eh Basri, ini bukan rumah tu ke?” tanya Hassan

“a’ah la. Memang rumah tu la” sampuk Ritchie pula.

“Ya, sa tau memang rumah ni la, tapi” Basri senyap seketika sebelum menyambung ayatnya

“tapi Syafiq tidak tahu menahu tentang cerita tu, lagipun kita tiada bukti” tegas Basri.

“Mak kata jangan sesekali pergi kat hujung kampung sebab ada….”

“eh kau ni Maidin, cakap habis boleh tak” Hairul mencelah

Maidin terdiam kerana matanya terlihat kelibat nenek yang sedang berada di beranda rumah tersenyum ke arahnya. Hairul kemudian turut terdiam sama kerana anak matanya memandang ke arah yang sama seperti temannya itu.

“Nek, cantiklah bilik tidur dekat dapur tu”

Nenek tua dan Darrel yang sibuk bercerita tadi di sapa oleh Syafiq. Dia menjelaskan itu adalah bilik tidur anaknya sebelum anaknya meninggalkan dia berseorangan di sini. Keduanya berasa simpati mendengar cerita itu.

“Syafiq! Darrel!” Jerit Basri

“Nek kami gerak dulu.” Syafiq menghulurkan tangan untuk menyalam orang tua itu diikuti oleh Darrel sebelum mereka berdua beredar.

“terima kasih cu”

“sama sama nek” jawab Darrel.

Mereka bertujuh akhirnya bergerak meninggalkan rumah usang itu dengan mengayuh basikal masing masing.

Sejak daripada peristiwa tempoh hari, Syafiq dan Darrel rajin berkunjung ke rumah nenek tua itu bercerita sambil belajar berkaitan dengan herba yang sememangnya menjadi antara sebab utama keduanya suka ke sana.

Suatu petang sebelum maghrib, Syafiq meminta diri untuk meninggalkan sahabat sahabatnya untuk membawa beberapa bungkusan bunga kering ke rumah nenek tua. Kebiasaannya dia akan pergi bersama Darrel namun Darrel dengan keluarganya berada di kota pada waktu itu.

Setibanya Syafiq di rumah nenek tua, pintu pagar rumah tertutup dan tidak seperti selalunya. Kebiasaannya nenek akan berada di beranda rumah menunggu kehadirannya. Tapi tidak petang itu.

“Assalammualaikum Nek”

Syafiq memasuki rumah yang tidak berkunci. Dia kemudiannya menuju ke dapur untuk meletakkan bunga dan herba kering yang di bawanya seperti biasa. Syafiq melihat nenek sedang tidur mengiring diatas katil anaknya. Tidak ingin mengganggu, dia meninggalkan rumah itu dengan senyap.

Keesokan petang, Syafiq datang semula seperti kebiasaannya dan membawa herba kering. Dia melihat herba kering yang di hantarnya kemarin masih tidak di sentuh dan kemudiannya meletakkan herba kering yang baru di bawa disebelah herba yang lain. Sama seperti kemarin, nenek berbaring di katil vintag milik anaknya itu. Kejadian yang sama berlaku tiga hari berturut dan kemudiannya pada hari keempat, Syafiq datang lagi ke rumah nenek tersebut.

Selesai dia meletakkan herba kering di dapur, dia melihat ke arah katil Vintag itu yang tadinya nenek berbaring kini sedang terduduk di tengah katil. Nenek itu tersenyum memandang Syafiq dan melambaikan tangannya memberi isyarat memanggil dia masuk. Syafiq kemudiannya di peluk oleh nenek tua itu dan dia membalas pelukan nenek.

Setelah seketika, Syafiq meninggalkan rumah nenek tua itu kerana nenek tua meminta untuk di belikan kemenyan di kedai. Setibanya di rumah nenek, dia melihat banyak kereta dan beberapa penduduk kampung berkumpul di situ.

“Assalammualaikum Pak Salleh”

“Wa’alaikumussalam Syafiq”

“Ni ada apa ni pak Salleh?”

“Kamu buat apa pula kat sini? Masuk maghrib dah ni”

“Oh saya kesini nak bawakan nek Wan kemenyan yang dia minta tadi”

Mendengar kata kata Syafiq tadi, raut wajah pak Salleh berubah kebingungan dan hairan dengan apa yang didengarnya.

“nek Wan?”

“a’ah”

Syafiq kemudiannya terdiam apabila melihat beberapa penduduk kampung membawa turun sekujur tubuh bertutupkan kain putih dari rumah nenek tua ke arah van jenazah yang berada berdekatan situ. Pak Salleh memberitahu Syafiq bahawa nek Wan telah meninggal empat hari yang lepas namun baru di sedari hari ini kerana terhidu bau yang sangat busuk datang daripada rumah itu.

NOVEMBER 2019

“Hingga ke hari ini saya masih terfikir kalau nek Wan meninggal sudah 4 hari yang lepas, jadi dengan siapa saya bercakap dan peluk pula pada petang hari tu 19 tahun yang lalu?” Syafiq menamatkan ceritanya.

Keenam enam mereka khusyuk berpandangan ke arah Syafiq yang baru saja menghabiskan ceritanya dan semuanya diam tanpa sekelumitpun kata yang terpacul. Mereka tidak menyangka sahabat mereka akan menceritakan cerita tersebut untuk sesi pertemuan tengah malam.

“Usah di fikirlah, moga rohnya damai di sana” Darrel memecahkan sunyi

“ermm..” Syafiq mengiyakan.

Mereka bertujuh kemudiannya bergerak ke khemah masing masing yang berada di tepi pantai untuk beradu. Syafiq memandang ke arah bulan yang tadinya terang kini dinaungi awan, perasaan malam itu persis sama seperti kejadian yang menghantuinya beberapa tahun yang lalu. Redup bulan dan sunyi persis sekali..


by: Naturemujahid  



1 comment:

  1. If you're trying to lose weight then you absolutely need to try this brand new custom keto meal plan.

    To produce this keto diet service, certified nutritionists, fitness trainers, and professional cooks have joined together to develop keto meal plans that are powerful, decent, money-efficient, and enjoyable.

    Since their launch in 2019, thousands of clients have already remodeled their body and well-being with the benefits a proper keto meal plan can provide.

    Speaking of benefits; in this link, you'll discover eight scientifically-tested ones offered by the keto meal plan.

    ReplyDelete

Coretan Antum ^ ^