Sunday, 5 January 2014

HUKUM MENGUCAP SAMBUTAN PERAYAAN PADA BUKAN MUSLIM

Bismillah Alhamdulillah


25th December 2013 baru saja berlalu, dan serentak itu Christmas juga disambut oleh ribuan penganut Christian. Mesti ada diantara kita yang rasa bersalah samada hendak wish ataupun tidak... jangan risau, entri ini bisa membantu insyaAllah.

PANDANGAN AL-QARADAWI BERKENAAN UCAPAN TAHNIAH DENGAN KEDATANGAN PERAYAAN AGAMA SELAIN ISLAM

Al-Qaradawi adalah antara ulama yang menyatakan keizinan mengucapkan tahniah dengan kedatangan perayaan agama selain Islam. 

Dalil-dalil yang digunakan oleh beliau adalah seperti berikut; 


1. Firman Allah yang bermaksud, "Allah tidak halang terhadap mereka yang tidak menyerang agama kamu dan tidak mengeluarkan kamu dari negara kamu, bahawa kamu melakukan kebaikan dan keadilan kepada mereka. Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang melaksanakan keadilan" (Surah al-Mumtahanah)

Menurut al-Quran, ayat ini adalah panduan yang telah ditetapkan oleh al-Quran dalam hubungan antara muslim dengan non muslim.


2. Firman Allah yang bermaksud, "Hari ini dihalalkan kepada kamu perkara baik; makanan mereka yang diberikan kitab adalah halal bagi kamu dan makanan kamu halal bagi mereka; perempuan yang baik dari kalangan mukminat dan perempuan dari kalangan mereka yang diberikan kitab sebelum kamu" (Surah al-Maidah, ayat 5)

Dalam ayat ini, Allah swt pamerkan keharusan memakan sembelihan ahlu kitab dan dibenarkan berkahwin dengan perempuan mereka, sedangkan al-Quran nyatakan pernikahan adalah untuk capai kasih sayang. 

Firman Allah yang bermaksud, "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir" (Surah al-Rum, ayat 21)


3. Setengah yahudi telah datang berjumpa dengan Rasulullah dan mereka berlumba-lumba mengucapkan salam. Aisyah maklumkan bahawa mereka berkata "al-sam" (mati), bukan "al-Salam" (sejahtera)

Dijawab nabi dengan kata baginda yang bermaksud, "Allah itu menyukai kasih sayang pada semua urusan" (muttafaq alaih)

Dari hadis ini, dipamerkan bahawa Islam menggalakkan kasih sayang dalam hubungan bersama dengan orang bukan Islam dan melarang mengambil sikap keras terhadap mereka. 

4. Firman Allah yang bermaksud, "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu" (Surah al-Nisa' ayat 86)

Ayat ini mengajar bahawa sesuatu ucapan itu hendaklah dibalas dengan yang lebih baik. Ekoran itu, dibenarkan memberi ucapan kepada mereka jika mereka berlumba-lumba untuk memberi ucapan baik kepada kita. 

Tidak baik bagi muslim bahawa dia kurang memberi penghormatan. Ini kerana, Nabi Muhammad saw ada bersabda yang bermaksud, 


"Mukmin yang sempurna iman adalah mereka yang baik akhlak" 

Dan hadis bahawa nabi saw ada bersabda, "Aku dibangkitkan untuk sempurnakan keindahan akhlak" 

5. 
Diriwayatkan bahawa majusi berkata kepada Ibn Abbas, Assalamualaikum.

Ibn Abbas menjawab, Waalaikum salam wa rahmatullah. 

Setengah rakan-rakan beliau bertanya, apakah kamu mengatakan rahmat Allah untuk mereka? 

Dijawab ibn abbas yang bermaksud, "Apakah tidak kerana rahmat Allah mereka hidup?" 


Dari dalil-dalil yang dikemukakan ini al-Qaradawi menyatakan bahawa keizinan bagi muslim mengucap tahniah dengan kedatangan perayaan agama mereka, sama ada dengan menghantar kad atau dengan ucapan lisan yang tidak merangkumi mengagungkan syiar dan ucapan keagamaan mereka. Juga, ucapan itu tidak bermaksud akui dan redha dengan agama mereka. Dengan maksud, ia sekadar ucapan mujamalah atau ucapan kesopanan, pamerkan sikap hormat dan berbudi bahasa.

al-Qaradawi juga mengomentari dengan menyatakan bahawa tidak dilarang menerima hadiah dari mereka kerana melihat bahawa Nabi saw menerima hadiah non muslim seperti muqawqis mesir dan sebagainya. Namun, hadiah itu hendaklah bukan perkara yang diharamkan Islam seperti arak dan daging babi.

al-Qaradawi juga memandang bahawa tidak boleh muslim itu menyambut perayaan keagamaan tersebut seperti menyambut aidul fitri dan aidul adha, tetapi ia tidak salah jika sekadar memberikan ucapan.

al-Qaradawi ada juga mengomentari pendapat Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang melihat keras tentang perkara ini dalam kitab iqtida' Sirat al-Mustaqim. Komentar al-Qaradawi adalah bahawa fatwa Ibn Taimiyyah merujuk kepada situasi di zaman beliau. Dengan maksud, jika Ibn Taimiyyah berada di era kini; era dunia semakin berhampir-hampiran, keperluan manusia kini berhubungan antara satu dengan lain, ada sebilangan muslim menuntut ilmu dari orang bukan Islam dan berbagai lagi, sudah pasti dia perlu hargai perubahan fatwa di era kini yang tidak sama dengan era dahulu. 

(al-Qaradawi, Fatawa Maasarah, Dar al-Qalam li al-Nasyr wa al-Tawzi' - kaherah, Kuwait : 2002 - 1422, hlmn 668 - 673)


Di edit oleh : Naturemujahid

No comments:

Post a Comment

Coretan Antum ^ ^