Bismillah Alhamdulillah
Bismillah... Liku sejarah peradaban serta perjuangan yang terbina sejak berzaman lamanya, menyaksikan mujahid dan srikandi Islam yang berjuang untuk memenangkan Islam sebagai yang tertinggi sekali.
Sungguh begitu banyak ikon-ikon ini, untuk entri tahun baru ini, ana ingin menyentuh sedikit mengenai kisah Srikandi yang menjadi perisai Rasulullah dalam perang Uhud dulu.. perang yang menjadi pengajaran buat kita yang bergelar hamba.
Nusaibah binti Ka'ab Al-Ansari atau Nusaibah merupakan
salah seorang daripada serikandi Islam dan merupakan pejuang Muslimah Islam
yang pertama. Dia turut serta dalam Perjanjian (Bai’ah Aqabah Ke dua ), Perang
Uhud, Bai’ah Ridhwan dan Perjanjian Hudaibiyyah, Perang Hunain dan Perang
Yamamah (menentang golongan murtad ).
Nusaibah di Bai’ah Aqabah Kedua ( Tsaniah )
Nusaibah adalah salah
seorang wanita yang telah turut serta bergabung dengan 73 orang lelaki Ansar
yang ingin berbai’ah kepada Rasulullah SAW. Dalam bai’ah Aqabah yang kedua itu,
dia bersama dengan suaminya Zaid Bin Ahsim dan dua orang puteranya Hubaib (yang
telah dibunuh oleh Musailamah setelah itu) dan Abdullah (perawi hadith wuduk)
telah membuat janji setia kepada Rasulullah S.A.W. Sedangkan wanita yang
seorang lagi adalah saudaranya. Ummu Umarah merupakan seorang wanita yang
berani, pandai menjaga harga diri, jujur dan rajin. Perkara ini dijelaskan oleh
Rasulullah sendiri ketika dia membuat bai’ah. Baginda bersabda maksudnya : ”
Janganlah mengalirkan darah dengan sia-sia.”
Nusaibah di Perang Uhud
Ketika Perang Uhud,
Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat
mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari
medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah
adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi
melindungi Rasulullah dari dikejar musuh.
Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah begitu hebat, hinggakan Rasulullah
berkata,
“Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah
(Nusaibah) berperang di hadapanku.”
Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah
ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata,
“Bangun wahai anakku.”
Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh.
Rasulullah yang melihat peristiwa itu merasa terharu.
“Wahai Ummu Imarah,
siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?” kata Rasulullah
kepadanya.
Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri,
Rasulullah berkata kepadanya,
“Ini dia orang yang telah melukakan anakmu.”
Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang.
“Ya, Ummu
Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” kata Rasulullah sambil tersenyum melihat
kesungguhan Nusaibah.
Kemudian, Nusaibah dengan bantuan beberapa tentera Muslimin berjaya membunuh
orang itu. Melihatkan keadaan ini, Rasulullah berkata,
“Segala puji bagi Allah
yang telah menenangkanmu dan menggembirakan hatimu daripada musuhmu serta
memperlihatkan balas dendammu dihadapanmu.”
Ketika Perang Uhud ini, Nusaibah mengalami luka yang banyak, terutamanya di
bahagian bahu. Rasulullah memeriksa lukanya lalu meminta Abdullah, anaknya
untuk mengikat luka tersebut sambil berkata,
“Semoga Allah sentiasa memberkati
dan merahmati kamu semua.”
Nusaibah mendengar kata-kata Rasulullah itu.
“Ya Rasulullah! Mohonlah kepada
Allah agar kami boleh menemanimu di syurga nanti,” kata Nusaibah.
Maka
Rasulullah pun berdoa,
“Ya Allah! Jadikanlah mereka semua ini penemanku di
syurga kelak.”
“Aku tidak akan mengeluh setiap musibah yang menimpa diriku di
dunia ini,” kata Nusaibah sebagai membalas.
*************
Demikianlah kecintaan para sahabat sahabiah terhadap Rasulullah s.a.w. Moga mereka ini bisa menjadi ikhtibar buat kita semua.
No comments:
Post a Comment
Coretan Antum ^ ^