Sunday, 28 June 2020

PENGAJARAN HIDUP : RAJA & 4 ISTERI

Bismillah Alhamdulillah


Assalammualaikum dan hello semuanya. Entri petang ini saya ingin kongsikan tentang sebuah cerita yang sangat terkenal di luar negara terutama di Eropah. Cerita ini banyak di nukilkan dalam bahasa inggeris oleh itu saya akan terjemahkan dan mengarang kembali dalam bahasa melayu agar mudah difahami oleh pembaca sekalian. 

Saya ada buat pembacaan dan sedikit kajian tetapi saya tidak menemukan sumber asal penulisan ini tetapi berdasarkan daripada gambar jelas dilihat cerita ini di karang asal usulnya pada zaman Renaissance. 

......

Di sebuah kerajaan terdapat seorang raja dan raja ini memiliki empat orang isteri. Sepanjang pemerintahannya raja tersebut hidup bahagia bersama keempat-empat isterinya. 

Suatu hari raja tersebut di sahkan menghidap penyakit yang akhirnya menyebabkan dirinya nazak dan bakal mati. Raja tersebut tidak ingin meninggalkan dunia ini dan pergi ke alam lain bersendirian lalu raja tersebut memanggil kesemua empat orang isterinya. 

Raja tersebut berkata kepada isteri keempat yang beliau akan memberikan emas permata serta berlian kepadanya dengan harapan isteri keempat akan mengikutinya ke alam kematian namun isteri keempat tadi menolak dan berkata dia sayang akan raja tapi dia tidak akan mengikutinya ke alam kematian.

Seterusnya raja tersebut bertanya kepada isteri ketiga yang sangat di kasihinya. Raja selalu membawa isteri ketiga dan menayangkannya dengan mana-mana kerajaan dan sesiapapun. Namun isteri ketiga turut menolak bahkan berkata dia akan bernikah lagi selepas kemangkatan raja. 

Soalan yang sama di tanya kepada isteri kedua. Isteri kedua menjawab dia juga tidak dapat mengikuti raja ke alam kematian tapi apa yang boleh dia lakukan adalah mengurus majlis pengebumian dan menemani raja di pemakaman beliau. 

Usai isteri kedua berkata-kata kedengaran suara memecahkan keheningan. 

"Saya sanggup mengikutimu ke alam kematian dan rela bersama denganmu" 

Raja tergamam mendengar ucapan itu. Ternyata ianya datang daripada isteri raja yang pertama. Raja menjadi terharu dan serba salah kerana dalam banyak-banyak isteri beliau, isteri pertamalah yang selalu diabaikan dan tidak di sayang. Dia berkata kalaulah aku boleh mengembalikan masa, pasti akan aku menjagamu dengan lebih baik. 

Hakikat kebenarannya, cerita ini tidak berkisar tentang raja dan empat orang isterinya tetapi menceritakan perihal saya dan pembaca semua. Kita semua ada empat orang isteri. Isteri keempat disini diibaratkan sebagai tubuh badan kita yang kita sayang. Tidak kira berapa banyak masa kita luangkan untuk menjadikan tubuh kita sasa dan cantik namun ianya tetap akan meninggalkan kita bila kita mati. Tubuh itu akan hancur di mamah tanah atau dibakar menjadi abu. 

Isteri ketiga disini ialah harta kekayaan yang kita miliki. Kita sibuk mengumpul harta dan memperagakannya serta berbangga dengannya namun apabila kita mati kelak, harta itu akan di wariskan kepada orang lain dan tidak akan mengikuti kita ke alam kubur. 

Isteri kedua pula dinukilkan sebagai orang yang kita sayang iaitu ahli keluarga dan kawan-kawan kita. Mereka menyayangi kita tetapi mereka hanya boleh menemani hingga kita selesai di kuburkan. 

Isteri pertama disini ialah jiwa kita tetapi dalam Islam kita di ajarkan dalam empat ini hanya amalan kita yang akan menemani kita di alam kubur nanti. Segala amal kebaikan yang kita lakukan akan menjadi bekal kita di sana nanti namun amalan baik inilah yang selalu kita abaikan betul? 

Moral dalam cerita ini ialah jagalah tubuh badan kita, sihatkan ia, nikmatilah harta yang kita miliki dan keselesaan yang kita perolehi, sayangi keluarga dan kenalan serta saudara atas kasih sayang yang mereka berikan tapi jangan pernah lupa untuk menjaga amal soleh yang kita lakukan serta jiwa kita. Ambil masa untuk bermeditasi, bersendiri dengan Allah, lakukan amal kebaikan seperti sedekah jariah dan membaca al-quran serta amalan baik yang lain dengan harapan suatu hari nanti Allah mengganjarkan kita dengan syurganya. 

Sebagai tambahan, Islam mengajar kita ada tiga perkara yang akan sentiasa mengalir dan memberi manfaat kepada manusia ketika mati iaitu amal jariah yang kita lakukan, doa anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat. 

Ini jelas disebutkan dalam hadis dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda "jika anak Adam meninggal, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang selalu mendoakan" HR Muslim. 

Moga Entri ini dapat membantu kalian atau orang yang kalian cintai. 

Suntingan : Naturemujahid 
28/06/2020 (Ahad) 
06:42pm

No comments:

Post a Comment

Coretan Antum ^ ^