Bismillah Alhamdulillah
Dahulunya Islam bukan sahaja agama yang sangat dikagumi oleh pengikutnya bahkan oleh musuh Islam sendiri. Musuh-musuh yang cuba mendekati Islam atau cuba menghancurkan Islam akan tunduk akur terhadap Islam malah mereka menjadi penganut agama Islam yang berjuang dengan mempertaruhkan diri dan nyawa mereka dengan harga Islam.
Sekalipun suatu ketika sebelumnya merekalah yang mengepalai rancangan menghancurkan Islam namun hari esoknya setelah mereka mengenali dan memahami Islam yang sebenar, merekalah yang berada pada saf hadapan mempertahankan Islam daripada disentuh apatah lagi dicabul atau dinodai.
Bukti jelas dapat dilihat pada sahabat Rasulullah seperti Sayyidina Umar dan Khalid al-Walid. Mereka berdua menepati sabda Rasulullah s.a.w
"Manusia itu ibarat lombong, mereka baik pada masa
jahiliyyah akan menjadi baik dalam Islam apabila mereka
mempunyai kefahaman yang mantap."
Mereka mengecapi Khairu Ummah, menggapai kemenangan hakiki, meraih erti kemuliaan kepimpinan yang adil, menghirup bayu kedamaian, melihat pembangunan yang menjulang, dan ketamadunan yang hebat.
BILAKAH SAAT SEMUA INI BERLAKU?
Ianya akan berlaku tatkala mereka menghirup udara dibawah naungan pemerintahan Islam
KHILAFAH ISLAMIYYAH. Pemerintahan yang mana pemerintahnya memelihara kitab Allah s.w.t dan sunnah Rasulullah s.a.w, sekaligus melaksanakan semua batasan yang telah digariskan di dalamnya serta beriltizam dengan hukum hakamnya.
Pemerintahnya mengimarahkan masjid-masjid bersama rakyat jelata, bahkan pintu rumah sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran rakyat dan memuliakan mereka sebagai tetamu.
Pemerintahnya menghormati para ulama dan memuliakan ahli ilmu. Dengan berlapang dada, mereka sedia mendengar nasihat dan tunjuk ajar bahkan sedia menerima TEGURAN dan KRITIKAN.
Pemerintah sebegini merupakan pemimpin gerakan kebangkitan untuk mempertahankan kesucian dan kehormatan Islam. Prinsip Jihad disematkan dalam setiap rakyatnya kerana mereka disirami pesanan agung daripada Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh sayyidina Abu Bakar r.a
"Tidak akan menimpa sesuatu kaum yang meninggalkan jihad
kecuali Allah akan mengenakan azab secara menyeluruh"
Hasilnya, Islam diperhebatkan di seluruh pelosok dunia bagi memberi
erti hidup kepada seluruh manusia tanpa mengira warna kulit,
bangsa dan agama.
.......................................................................................
Garis sempadan masa kini berlalu berabad-abad lamanya menyaksikan firman Allah s.w.t membenarkan jatuh bangunnya empayar-empayar keagungan Islam silih berganti dalam menegakkan ad-deen
Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran
"...Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu kami pergilirkan
antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran) dan agar Allah
membezakan orang-orang beriman (dengan orang-orang kafir)
dan agar sebahagian kamu dijadikan-NYA (gugur sebagai) Syuhada.
Dan Allah tidak menyukai orang-orang zalim" [ Ali-Imran (3) : 140 ]
Kini.. kita berada di zaman kejatuhan.. sirna Islam malap dikaburi kabut thaghut yang meracuni alam ini.. perjuangan untuk meneruskan kalimah tauhid masih berterusan hingga kini..
Inilah sebenarnya mata rantai perjuangan... saling bersambung antara-satu dengan yang lainnya untuk menggerakkan selagi mana daulah Islamiyah tidak tertegak seperti sebelumnya.. jangan sekali-kali memutuskan mata rantai itu.
Teringat dekat kalam naqib.. "Perjuangan itu bukan kita pemulanya, bukan juga kita yang mengakhirinya... ianya akan bersambung generasi ke generasi.. ingat dik, jangan sekali-kali kerana dirimu mata rantai ini terputus.."
Bersaksi baiah ku ya Allah
Nukilan : Naturemujahid
No comments:
Post a Comment
Coretan Antum ^ ^