Saturday, 28 September 2013

Tan Sri Dato' Seri DiRaja Ustaz Haji Azizan bin Abdul Razak : Fakihnya di Kent Centurburry

Bismillah Alhamdulillah

26th September yang lalu merupakan hari kedukaan, hilangnya lagi seorang yang menjadi rujukan ummah.. Susuk tubuh seorang cikgu yang amat fakih dalam bidangnya juga sangat cemerlang dalam memahami waqi'.

Jom berkenalan serba sedikit mengenai beliau... 


Tan Sri Dato' Seri DiRaja Ustaz Haji Azizan bin Abdul Razak merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Dato' Seri Diraja Mahdzir Khalid. Beliau juga merupakan Pesuruhjaya 
PAS Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah. Beliau menjadi Menteri Besar selepas PAS dan Parti KeADILan Rakyat membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam pilihan raya umum Malaysia 2008.

 Upacara mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah telah diadakan di hadapan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Wisma Darul Aman pada jam 3.40petang (Ahad),bersamaan 9 Mac 2008.Pada 16 Julai 2008, Ustaz Azizan telah dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran "Datuk Seri".Pengurniaan darjah ini telah disempurnakan oleh Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Anak Bukit sempena sambutan Jubli Emas baginda.Pada 1 Jun 2013 beliau merupakan antara penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.Beliau telah menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran "Tan Sri"

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, pernah belajar di Maktab Mahmud pada tahun 1959-1965. Ustaz Azizan berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar dan undang-undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.
Beliau mula menyertai PAS pada tahun 1978 di England. Pada tahun 1986 bergiat aktif dengan PAS di Malaysia. Beliau merupakan Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991 hingga kini) Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga sekarang) selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga sekarang), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah (2000 hingga sekarang) dan mewakili PAS ke MAPEN (1989). Beliau memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon dari Barisan Nasional.


Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan. 

Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan. 

Sebenarnya beliau bukan seorang pemimpin yang suka melakonkan watak atau berlakon di hadapan lensa malah cukup keberatan untuk dikutip kisah perjuangan sepanjang hayatnya. Dia pernah menolak diwawancara Harakah secara eksklusif Harakah, walaupun beliau amat sayang akan organ parti ini dan pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Harakah. 

Katanya kepada saya, ketika melaporkan diri sebagai Ketua Wartawan Harakah Negeri Kedah awal tahun ini, beliau lebih suka bersikap merendah diri dan kurang menggemari publisiti berbentuk sensasi. 

"Takpalah...Azamin. Biar saya 'low profile' dan buat kerja-kerja macam biasa. Azamin buatlah kerja dan duduklah elok-elok di sini ya," katanya bernada rendah menyinggah hati nurani. 

Dan sejak itu saya memerhati dari jauh dan mengekorinya tanpa disedari. Tidak pernah saya mendekatinya dengan lebih rapat lagi bimbang-bimbang disalah erti. Sehinggalah selepas tujuh purnama saya di sini, beliau buat pertama kalinya menjemput saya ke rumah. Berbual santai, sembang-sembang hal keluarga dan menitipkan luahan hatinya tentang pergolakan politik semasa. 

Dulu bermacam-macam nista dipalit kepada Ustaz Azizan. Tidak mesra, tidak pandai ceramah, ego dan bengis kata mereka yang tidak puas hati dengan Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Adun Sungai Limau ini. 

Namun setelah dua kali berbual mesra dan mengikuti segala aktiviti serta program beliau selama tujuh bulan ini, nyata tusukan dan cacian itu, tidak benar dan hanya fitnah semata. 

AMAT TEGAS 

Ini tidaklah bermakna, dikesampingkan warna sebenar, perwatakan beliau. Ustaz Azizan sememangnya seorang yang amat tegas terutama melibatkan tugasan dalam parti mahupun kerajaan negeri. Bekas pensyarah kehormat di Universiti Mindanao ini juga tidak suka kerja "cincai-bomcai". 

Baginya semua 'perfect' dan 'zero-defect'. Tidak kurang kakitangan atau petugas parti yang menerima terjahan teguran dan kritikan daripadanya. Katanya setiap tindakan memberi kesan kepada agama dan perjuangan parti yang dibawa. Yang akan menerima tempias ialah, Islam dan PAS. 

Betapa seriusnya Ustaz Azizan mentadbir parti sehingga adakalanya bermesyuarat sampai malam dan sesekali beliau mengejutkan para pegawainya yang sedang lena diulit mimpi, untuk berkumpul di rumahnya lewat tengah malam bagi membincangkan isu amat genting. 

Pernah sekali, walaupun pintu tertutup rapat, saya mendengar beliau berang memarahi seseorang kerana kelemahan menyelesaikan tugas yang diberi. Gamam juga saya yang kemudian beransur beredar perlahan-lahan daripada pejabat Menteri Besar itu sebelum menambah lagi murka. 

Akan tetapi ironinya, puncak kemarahannya hanya di bucu empat penjuru biliknya sahaja. Selepas melintasi ruang legar atau di luar bilik itu, beliau akan bersikap sediakala malah orang yang dimarahinya, boleh berbual dan makan semeja dengannya. 

Begitulah kehebatan seorang Azizan yang tiada duanya, yang mampu dinukilkan semoga bisa merungkai kekeliruan dan tuduhan tak bermata terhadapnya selama ini. 

Sesungguhnya rakaman dua tahun lebih, kelibat keperibadian beliau, tidak mampu dikarang berkajang-kajang. Hanya selembar kisah, secebis cerita untuk tatapan semua untuk mengenali, cuba mendekati dan mencontohi sikap beliau, yang jauh di mata dekat di hati. 

Moga mendoakan, agar kepimpinannya berpanjangan dan sekiranya berterusan, maka mudahlah saya menyudahkan cerita 1001 macam di sebalik tabir Ustaz Azizan Razak ini. Salam Ramadan al-Mubarak! 

Oleh AZAMIN AMIN

Begitulah sedikit coretan yan ana ambik daripada blog dan entri akhi Azamin Amin... moga Allah menempatkan roh Ustaz Azizan di kalangan mereka yang tinggi makamnya.

Al-fatihah


No comments:

Post a Comment

Coretan Antum ^ ^

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...